Fenomena Gerhana Matahari umumnya boleh berlaku apabila 3 jasad besar di angkasa lepas, Bumi, Bulan dan Matahari berada di dalam kedudukan selari.

Pada 9 Mac 2016 nanti, bermula sebaik sahaja matahari terbit, seluruh Malaysia akan dapat menyaksikan Fenomena Gerhana Matahari.

Fenomena Gerhana Matahari umumnya boleh berlaku apabila 3 jasad besar di angkasa lepas, Bumi, Bulan dan Matahari berada di dalam kedudukan selari.

Hasil daripada kedudukan yang unik ini, jasad Bulan akan berupaya menutupi jasad Matahari, lalu akan mengakibatkan bentuk matahari di langit menjadi tidak bulat seperti biasa, dan akan kelihatan seolah-olah hilang sebahagiannya. Pada lokasi-lokasi tertentu, jasad matahari akan hilang keseluruhannya, lalu terjadilah fenomena Gerhana Matahari Penuh. Pada 9 Mac nanti, hanya negara Indonesia sahaja yang bernasib baik dapat melihat fenomena ini. InsyaAllah saya sendiri akan ke sana untuk cuba merakam fenomena tersebut.

Bagi anda di Malaysia, anda  akan dapat melihat sebahagian besar  matahari tertutup (bukan sepenuhnya). Fenomena yang ini dikenali sebagai fenomena Gerhana Matahari Separa. Kali terakhir penduduk Malaysia dapat melihat fenomena Gerhana Matahari Separa ialah pada bulan Januari 2010.

Gerhana Matahari Separa yang akan berlaku pada 9 Mac 2016 ini bermula sebaik sahaja matahari terbit di ufuk timur. Bagi penduduk di Utara Malaysia, anda akan dapat melihat matahari sudahpun kelihatan ‘hilang’ sedikit sebahagian daripada sisinya ketika matahari terbit.

Bagi penduduk ke arah Selatan Malaysia, anda akan dapat lihat matahari dalam keadaan sempurna bulat ketika ia terbit, dan berpeluang melihat Sentuhan Pertama (First Contact), iaitu saat jasad Bulan kali pertama mula kelihatan di salah satu sisi matahari, lebih kurang 5-6 minit selepas terbitnya matahari.

Kemuncak Gerhana Matahari Separa ini berlaku sekitar jam 8.23 pagi. Namun, ia bergantung juga kepada kawasan dan lokasi.Selain itu peratusan matahari tertutup juga bergantung kepada lokasi. Semakin ke selatan, semakin banyak peratusan matahari akan tertutup.

Maklumat di bawah boleh digunakan sebagai panduan asas untuk waktu puncak gerhana serta peratusan matahari tertutup.

Semenanjung Malaysia

  • Kangar – 8.25 pagi (67%)
  • Kuah – 8.25 pagi (67%)
  • Alor Setar – 8.25 pagi (68%)
  • Georgetown – 8.25 pagi (70%)
  • Ipoh – 8.24 pagi (73%)
  • Kuala Lumpur – 8.24 pagi (79%)
  • Shah Alam – 8.24 pagi (79%)
  • Putrajaya – 8.24 pagi (80%)
  • Seremban – 8.24 pagi (81%)
  • Melaka – 8.23 pagi (83%)
  • Johor Bahru – 8.24 pagi (86%)
  • Kuantan – 8.25 pagi (77%)
  • Kuala Terengganu – 8.26 pagi (71%)
  • Kota Bharu – 8.26 pagi (68%)

Sabah & Sarawak

  • Kuching – 8.29 pagi (87%)
  • Sibu – 8.31 pagi (85%)
  • Bintulu – 8.33 pagi (82%)
  • Miri – 8.36 pagi (78%)
  • Kota Kinabalu – 8.40 pagi (73%)
  • Sandakan – 8.42 pagi (75%)
  • Tawau – 8.41 pagi (81%)

Secara umumnya, Gerhana Matahari Separa di Malaysia akan tamat lebih kurang 1 jam 5 minit SELEPAS waktu puncak di atas. Fasa-fasa atau bentuk gerhana tersebut adalah seperti di bawah. (Rajah ini merujuk kepada lokasi di sekitar Lembah Kelang. Namun ia boleh digunakan sebagai gambaran kasar untuk lokasi-lokasi lain di Malaysia)

Cara Melihat Gerhana
Disebabkan fenomena ini Gerhana Matahari Separa, maka sebahagian matahari masih kelihatan dan bersinar terang di langit. Walaupun peratusan matahari yang tertutup itu tinggi (sekitar 87% di Kuching), namun ia masih amat berbahaya untuk dilihat dengan mata.

AMARAN! JANGAN SEKALI-KALI MELIHAT MATAHARI, SAMA ADA MENGGUNAKAN MATA MAHUPUN PERALATAN ASTRONOMI, TANPA MENGGUNAKAN SEBARANG PENAPIS KHAS MATAHARI. IA BOLEH MENGAKIBATKAN MATA ANDA BUTA!

Pastikan anda mendapat nasihat dan tunjuk ajar yang betul daripada pakar-pakar Astronomi tempatan, pegawai Falak di Jabatan-jabatan Mufti, dan juga organisasi seperti Planetarium Negara.  Disyorkan agar hubungi mereka terlebih dahulu untuk mendapat tunjuk ajar yang betulcara-cara melihat gerhana matahari ini.

Cermin Mata Gerhana
Ini merupakan sebuah ‘cermin mata’ khas yang mempunyai lapisan khas yang akan menapis SEGALA cahaya  berbahaya yang datang daripada matahari. Ia boleh didapati daripada kedai-kedai teleskop (jika masih ada stok!)

Penapis Baader
Penapis Baader ini kelihatan seperti aluminium foil tetapi ia sebenarnya sejenis penapis khas Matahari yang digunakan pada Teleskop dan Kamera. Ia selalunya akan dipasang pada hadapan teleskop atau hadapan lens kamera seperti video di bawah.

Eyepiece Projection
Kaedah ini boleh digunakan di bawah PENGAWASAN YANG KETAT oleh dewasa atau guru-guru sekolah. Caranya ialah dengan menghala teleskop atau binokular ke aras matahari BERPANDUKAN bentuk bayang-bayang alat tersebut. (INGAT! JANGAN SEKALI-KALI MELIHAT MATAHARI MENERUSI TELESKOP TERSEBUT!) Jika halaan anda tepat, imej matahari akan mula kelihatan pada kanta mata (eyepiece). Letakkan sebuah kertas putih di belakang kanta mata supaya imej matahari tersebut terbentuk pada kertas itu.

Kamera Lubang Pin
Kaedah ini PALING SELAMAT, iaitu dengan menebuk sebuah lubang halus pada kertas aluminium foil. Halakan ke arah matahari. Imej matahari akan terhasil di belakangnya, pada kertas putih yang kedua.

Bilakah Gerhana Matahari seterusnya yang akan berlaku di Malaysia?
Jika anda terlepas peluang menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa ini, anda perlu menunggu hingga 26 Disember 2019. Pada tarikh tersebut, sebahagian kecil di selatan Sememanjung Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin, manakala kawasan lain di Malaysia dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa.

 

More Info